Dec 6, 2006

anak-anak la ni..

Rasa kasihan pada ibu bapa yang punya 'anak-anak berpenyakit sosial'.

Bila jalan-jalan di stesen bas, nanti nampaklah macam-macam jenis 'remaja berpenyakit'. Pakaian tak cukup kain satu cerita, ini berpeleseran dan melepak tak bertujuan pula. Hai lah..

Yang berjalan berkumpulan dengan baju sekolah pun ada. Lepak-lepak buang masa. Sakit mata saya dengan permandangan begitu. Tak kisahlah jika mereka anak orang kaya. Tapi, jika lihat aja caranya dah boleh teka pun. Kebanyakan pun adalah anak-anak 'orang kampung'...yang tak sedar diri.

[Bukankah lebih baik cepat pulang ke rumah dan bantu ibu bapa, atau setidaknya guna masa untuk belajar dan beraktiviti sihat..]

Sekali tengok memang meluat. Tehegeh-hegeh di khalayak. Bercakap kuat-kuat. Sat nanti bila tak puas hati mulalah nak layan nafsu: gaduh bertempik. Macam bagus.

Salah siapa mereka berkelakuan begitu? Mak ayah atau guru atau suasana dan zaman teknologi??

Zaman dulu, orang didik anak dengan cara tegas. Guru di sekolah pegang rotan. Takde nak mengadu domba pun. Kalau mengadu, tentu dapat lagi habuan.

Kini, yang darjah satu pun bawa handphone ke sekolah. Cukup canggih. Tapi, kesannya sama hebat. Anak-anak minta duit untuk prepaid, dan ayah mak kena kerja lagi kuat nak kumpul harta. Anak-anak terpinggir dipersia. Pilih salah kawan, nak enjoy aja. Akhirnya, ramai yang berpenyakit sosial.

Jadi??

Saya kira, anak-anak perlu ditegaskan, biar mereka tahu membeza yang baik dan buruk. Biar ada 'filter' mereka sendiri. Nanti, tahulah mereka menjaga adab susila sebagai orang yang punya didikan.

Filter tu mesti dimasukkan unsur iman dan taqwa. Biar anak-anak sedar bahawa untuk setiap perkara, mereka masih seorang hamba Tuhan. Bila menjadi hamba kena buat perkara yang menghasilkan ganjaran. Buat baik dapat pahala :)

Justeru, mak ayah taklah bimbang untuk melepaskan anak-anak ke mana saja. Anak-anak pandai memilih, dan pilihan itu dipersetujui oleh syarak. Bukan yang disukai syaitan.

Tuntas, ibu bapa memang perlu mainkan peranan yang sangat besar. Bagai dikata 'ibu bapalah yang mencorak anak-anak mereka'.

Konsep 'authoritarian' dicadangkan Diana Baumrind agar anak-anak menjadi manusia yang stabil dari setiap segi. Ibu bapa authoritarian akan memberi sebab bila mereka berkata 'jangan'..dan akan memantau baik tiap perkembangan anak-anak mereka.

Saidina Umar juga pernah berpesan supaya tarbiah anak-anak perlu diikut pada tahapnya, pada zamannya. Dan oleh kerana dunia kian global, cabarannya juga makin banyak. Ibu bapa seharusnya siap sedia.

Didik anak-anak dengan baik. Didik dengan cara berhikmah. Mereka penentu kejayaan negara masa hadapan. Jika ibu bapa terlalu turutkan kepuasan nak kaya, nak mewah, nak nama, nak gaya...memang sampai kiamat pun tak puas juga.

Bentuklah aset utama anda dengan baik, nanti ditanya apa yang anda lakukan terhadap barang amanah itu kelak. Sebab anak juga boleh memesongkan arah kaki dari syurga ke neraka.

---sayang anak tangan-tangan kan :)

No comments: